Friday, October 22, 2010

lapok

Laju motor berjenama Honda Wave 125 meluncur di atas jalan raya. Berhenti sebentar kerana lampu merah baru menyala. Menjengah 100 meter ke hadapan. Berpeluk si dua beradik, berbadan gempal, memakai baju sekolah lengkap, di belakang si ayah (mungkin) yang berbadan gempal juga. Hmm, genetik lah tu. Detik 76 saat masih lagi mengganggu fikiran semua yang bermotor juga bermotokar yang berhenti. Kaki si dua beradik berjuntai-an kerana tidak sampai untuk di lapah kan ke pemijak. 8 saat lagi, 7.. 6.. 5.. 4.. 3.. 2.. 1, vroooommmmmmm! penggg pengggg! Menderu kenderaan berjalan laju, menukar gear masing masing, clutch. Bagi yang automatik, tukar sahaja kepada D, dan tekan pedal minyak, berderu la piston mahu menguatkan kuasa kelajuan kereta, motor.

Honda Wave 125, lapok, berwarna merah, mungkin kerana tanah merah, serta lopaklopak yang dirempuh sebelum ini, berkejaran dengan motor di sisi lain. Eiiiiiittttkkkk! Brek mengejut. Tersepit di antara van hijau dan waja silver metallic. Biar di lepaskan kereta itu dahulu. Meneruskan lagi perjalanan kemudiannya dengan kelajuan 80 km/h ke 90 km/h. Angin melibas visor pudar, longgar berwarna putih. Pelepekkk! lalat yang terlalu asyik berkejaran dengan sahabat karib, melekat di depan visor. Lain kali kalau mahu berkejaran, bukan di jalan raya, tetapi di Taman Permainan.

Hampir 5 kilometer perjalanan, signal kiri dinyalakan. Tanda untuk mengambil susur ke kiri. Lampu brek menyala, tanda memperlahankan motor, mengelakkan daripada terbabas. Signal kiri dimatikan setelah selamat memasuki susur. Meneruskan perjalanan. Belok kiri, belok kanan, belok kiri. Sekali lagi signal kiri dinyalakan, petanda susur kiri bakal disusuri sekali lagi. Menukar kepada gear rendah persediaan untuk menaiki bukit, takut tidak tertahan si Honda Wave 125. Maklum lah, muatan berat.

Sampai lah di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan TS. Berlumba turun motor si dua beradik. Menghulurkan tangan kepada si ayah, dan menyalamnya dengan penuh hormat. Enjin yang menguak membuktikan si ayah sudah mula memecut pulang ke rumah untuk bersiap sedia ke tempat kerja yang bermula pada pukul 10 pagi. Harapan tinggi, si isteri di rumah sudah mula membancuh teh dan membeli bungkus nasi lemak kegemaran untuknya. Semoga berjaya si dua beradik di sekolah agar dapat membalas jasa kedua ibu bapa yang bekerja. Semoga selamat si ayah bekerja agar dapat menyara keluarga.

dan semoga si Honda Wave 125 LAPOK dapat bertahan bagi membantu segala perjalanan hidup mereka berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment

Sneakers